Perlukah Mahasiswa Berdemonstrasi ?
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita demostrasi pelajar-pelajar IPT di hadapan pintu pagar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada malam tahun baru 2012 bagi membantah tindakan disiplin yang akan diambil terhadap seorang pelajar universiti berkenaan. Pada masa yang sama mereka melaung-laungkan penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sedang giat di teliti oleh kerajaan. Akhirnya pelajar terbabit telah dijatuhkan hukuman gantung pengajian selama tiga semester akibat kesalahan yang dilakukan di PWTC sebelum itu. Tidak perlulah saya mengulas lanjut dan menyentuh secara peribadi , kerana isu ini telah heboh diperkatakan di media alternatif. Pihak Polis sekali di persalahkan oleh segelintir masyarakat yang hanya “suka baca tajuk berita” tapi tak baca isi. Berdasarkan penelitian saya melalui media arus perdana, blog, facebook, you tube dan sebagainya, saya pun tertanya-tanya perlukah mahasiswa-mahasiswa berkenaan bergelagat sedemikian. Sesekali berhimpun secara aman untuk rakyat Palestin dan isu-isu yang memberi kesan buruk kepada majoriti rakyat Malaysia atau yang menggangu gugat akidah mungkin boleh diterima. Tetapi kalau dah menjerit-jerit dan mencetuskan kekacauan, ini amatlah tidak sesuai dengan budaya dan agama kita.
Saya juga merupakan seorang mahasiswa suatu masa dahulu (ijazah pertama) dan sekarang pun sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti tempatan. Sebaik sahaja mendapat keputusan STPM pada tahun 1993 saya memohon untuk memasuki Universiti. Tapi sayangnya tak dapat. Mungkin keputusan STPM saya tak cukup baik kerana selain belajar saya banyak sangat terlibat dengan Pergerakan Pengakap, Pertubuhan Silat Seni Gayong, St. John Ambulans Belia 4B dan macam-macam lagi aktiviti di sekolah. Rasa menyesal pun ada juga kerana tidak mendapat keputusan yang lebih baik. Kalaulah aku tak terlibat dalam program-program tu mungkin dapat keputusan lebih baik. Ye ke ? Tapi apa boleh buat “Nasi sudah menjadi bubur”. Jadi sekarang saya perlu pastikan bagaimana bubur nasi tu sedap untuk dimakan dan bukannya merungut dan menyalahkan pihak lain.


























