MEREALISASIKAN BUDAYA KERJA KELAS PERTAMA DI DALAM PERKHIDMATAN AWAM MENERUSI PELAKSANAAN KONSEP ESQ WAY 165.

Mohd Afendi bin Ya @ Zakaria

PENDAHULUAN

Budaya Kerja Kelas Pertama bukan merupakan   satu   idea baru kerana perkara ini telah dikemukakan hampir 20 tahun lalu,  sebagai satu susulan kepada  Budaya Kerja Cemerlang yang dilancarkan  oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia keempat pada 27 November 1989.  Budaya Kerja Kelas pertama  adalah berkaitan Minda Kelas Pertama, yang merupakan cetusan idea YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu ucapan beliau pada 6 Mac 2003 berhubung konsep fisrt world infrastructure, but third world mentality. Seterusnya konsep minda kelas pertama telah diutarakan oleh YAB Perdana Menteri semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Konsep ini  menjadi teras ke-2 dalam Misi Nasional iaitu untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama.

Minda Kelas Pertama akan menghasilkan kerja kelas pertama. Ini bermakna kerja kelas pertama bermula dengan individu yang memiliki pemikiran, emosi , perlakuan, sikap dan spiritual kelas pertama. Sesebuah organisasi yang mempunyai sistem dan peralatan yang canggih belum pasti boleh menghasilkan kerja kelas pertama kerana faktor individu memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan sesuatu sistem itu berfungsi secara optimum. Budaya Kerja Kelas Pertama akan dicerminkan oleh kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan yang kita berikan. Prestasi diutamakan, sebagaimana saranan YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kita sekarang, adalah langkah berterusan  bagi menghasilkan budaya kerja kelas pertama.

DEFINISI BUDAYA KERJA KELAS PERTAMA

Budaya Kerja Kelas Pertama didefinisikan sebagai: “Amalan terbaik dan terpuji yang melebihi daripada kebiasaan. Ia merangkumi aspek pemikiran, pengurusan emosi dan dimanifestasikan melalui perlakuan, tindakan dan cara bekerja yang penuh integriti serta dapat memuaskan kehendak pelanggan”. Terdapat tiga (3) perkara penting di dalam pemahaman kepada Budaya Kerja Kelas Pertama iaitu; cara berfikir dan pemikiran, cara merasa dan menghayati dan cara bertindak dan berperilaku. Kombinasi ketiga-tiga elemen Budaya Kerja Kelas Pertama dapat digambarkan melalui tujuh (7) Prinsip PERDANA yang boleh dijadikan panduan dalam pembentukan minda dan budaya kerja kelas pertama iaitu; P-Pantas dan Positif, E-Empati, R-Relevan, D-Daya Saing, A-Amanah, Adil dan Integriti, N-Nilai Tambah dan Kelainan dan A-Arif dan Berilmu.

MEREALISASIKAN BUDAYA KERJA KELAS PERTAMA

Bagi merealisasikan Budaya Kerja Kelas Pertama, kita perlu menerapkan satu konsep atau model yang boleh difahami, diterima dan diamalkan secara berterusan secara sukarela oleh semua anggota di dalam sesebuah organisasi.  Peranan ini  perlu dimulakan oleh ketua jabatan, selaku pemimpin di organisasi.  Model yang dimaksudkan ialah ESQ Way 165.  

Model EQS Way 165 telah diperkenalkan oleh Dr. Ary Ginanjar Agustian, seorang Instruktur dan pakar dalam bidang pembangunan sumber manusia,  juga penulis buku ‘best seller’  terkenal “The Islamic Guide to Developing ESQ – Emotional Spiritual Quotient”. Konsep ini pada mulanya diperkenalkan di Indonesia seterusnya dikembangkan di Malaysia, negara-negara rantau ASEAN  dan ke seluruh dunia menerusi ESQ Leadership Centre. Model ESQ Way 165 mudah difahami dan diaplikasikan di dalam organisasi, kerana ianya merupakan terjemahan dari amalan seharian. Model ini selari dengan konsep “Islam is the way of life”. Model ini telah di aplikasikan dengan jayanya di beberapa buah organisasi  swasta seperti Petronas, Sime Darby, PUSPAKOM, United Engineering Malaysia (UEM) dan Kumpulan Karangkraf.    

KONSEP ESQ WAY 165 

Konsep ESQ Way 165, merangkumi Komponen IQ, EQ dan SQ. Secara asasnya Kecerdasan Akal atau Intelectual Quotient (IQ)  terletak pada fungsi otak Neo Cortex. Ia diperkenalkan di Paris, Perancis pada tahun 1905. Mula  digunakan  semasa perang dunia pertama. Kecerdasan IQ diperkatakan secara meluas di seluruh dunia dan telah digunakan sebagai asas pengambilan pekerja di dalam organisasi awam dan swasta. Kecerdasan Emosi atau Emotional Quotient (EQ)  pula terletak pada fungsi otak Lymbic System, Ia diperkenalkan oleh Daniel Golemen menerusi bukunya “Working With Emotional Inteligence” pada tahun 1995. EQ adalah kemampuan untuk merasakan orang lain atau ilmu perhubungan manusia atau dari perspektif Islamnya dinamakan “hablum minannas”.  

Bagi urusan pengambilan penjawat awam, secara mudahnya IQ  dikaitkan dengan  kelayakan akademik yang ditentukan bagi sesuatu skim jawatan. Contohnya bagi Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD), salah satu syarat  kemasukan pegawai gred M41 adalah  memiliki Ijazah Pertama.  Peperiksaan merupakan tapisan pertama bagi memasuki skim PTD. Sudah semestinya peperiksaan ini bertujuan menguji IQ seseorang calon. Setelah lulus peperiksaan, calon-calon perlu melalui PTD Assesment Centre (PAC) yang merupakan ujian bagi menentukan  EQ calon. Di dalam PAC calon-calon akan di uji secara individu, contohnya melalui pengucapan awam dan public speaking serta secara berkumpulan melalui aktiviti Intelectual discourse, debat ala parlimen, pengendalian mesyuarat dan sebagainya. Calon akan dinilai dari aspek disiplin, keyakinan diri, kepimpinan, ketrampilan dan kemahiran berkomunikasi.  

Seterusnya calon yang berjaya akan dipanggil menghadapi temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Sekali lagi IQ dan EQ calon diuji. Pengetahuan Am berhubung bidang pekerjaan, negara dan  isu-isu semasa serta kematangan memberikan jawapan kepada persoalan panel temuduga akan menentukan kejayaan seseorang calon di dalam temuduga.  

Spiritual Quotient pula atau ringkasnya SQ terletak pada fungsi otak God Spot atau Temporal Lobe.   Ia ditemui oleh Micheal Persinger pada awal 1990 an dan seterusnya pada tahun 1997 oleh , VS Ramachandran  dari California University.  Danah Zohar (Harvard University) dan Ian Marshall (Oxford University) – SQ, Spiritual Quotient, (The Ultimate Intelligence, London, 2000) mendefinisikan SQ sebagai kecerdasan untuk menghadapi persoalan makna atau value, iaitu kecerdasan untuk menempatkan perilaku dan hidup kita dalam konteks makna yang lebih luas dan kaya, kecerdasan untuk menilai bahawa tindakan atau jalan hidup seseorang lebih bermakna dibandingkan dengan yang lain.

SQ adalah landasan yang diperlukan untuk memfungsikan IQ dan EQ secara efektif. Bahkan SQ merupakan kecerdasan tertinggi (Danah Zohar dan Ilan Marshall, “SQ:Spiritual Intelligence”, Bloomsbury, Great Britain).  Secara mudahnya SQ adalah berkaitan hubungan dengan pencipta (Hablum minallah), Ia bagi menjawab persoalan untuk apa IQ ini dan  untuk apa EQ ini. Orang yang kuat beribadat (ritual) tidak semestinya menjadi seorang individu yang bagus dan berguna kepada masyarakat sekiraya beliau gagal menghayati dan mengaplikasikan sesuatu ibadat tersebut.  

Bilakah masanya seseorang penjawat awam diuji dari aspek SQ atau secara mudah sekuat mana imannya ? Kemungkinan besar tiada. SQ hanya teruji bila pegawai ditempatkan di agensi, sektor atau unit-unit yang mendedahkan beliau kepada peluang untuk menyalahgunakan kedudukan atau kuasa. Bagi yang berjaya menghadapi godaan dan ujian,  insyallah selamat, manakala bagi yang  gagal ujian   akan terjebak dengan  penyelewengan, rasuah dan sebagainya. Sebagai balasannya, mereka boleh diambil tindakan berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, P.U.A 395,  atau undang-undang  negara yang berkuatkuasa.  

APLIKASI MODEL ESQ WAY 165  DI DALAM ORGANISASI

Bagi merealisasikan pelaksanaan Budaya Kerja Kelas Pertama di organiasi, penggunaan Model ESQ Way 165 disarankan. Model ini merangkumi konsep 1 (satu) Hati (Value) yang Ihsan, 6 (enam) Prinsip Moral berdasarkan Rukun Iman  dan 5 (lima) langkah sukses berdasarkan Rukun Islam.  Model ini bukan sahaja bersesuaian dengan individu muslim, malahan sesiapa sahaja, kerana konsepnya yang universal. Gambarajah Model  ESQ Way 165 adalah seperti di Lampiran A. Berikut adalah ulasan lanjut berhubung Model ESQ Way 165.

PERTAMA :  1 (satu) hati yang Ihsan

Penjernihan Emosi atau Zero Mind Process (ZMP) ialah merupakan peringkat pertama dalam Model ESQ.   Saranan dan aplikasi  ZMP adalah dengan mengenali diri sendiri atau muhasabah melalui tiga perkara seperti berikut :

a)  Mengenali 7 faktor yang dapat membelenggu suara hati (God Spot / Fitrah). Contohnya ketika sebuah masalah/peluang dihadapan mata, segeralah mengenali diri kita terlebih dahulu. Jangan tergesa-gesa mengeluarkan respon. Amati secara cermat diri kita :

  • Prasangka Negatif : Apakah kita sering berprasangka negatif kepada orang lain ?  Jika Ya,    maka ubahlah sikap. Gantikan dengan prasangka yang baik.
  • Prinsip hidup : Apakah kita terpengaruh oleh prinsip-prinsip yang ada di persekitaran kita ? Hati-hati, kadang kala prinsip tersebut menyesatkan. Hanya prinsip yang berpedoman kepada Allah SWT sajalah yang patut dipegang.
  • Pengalaman : Periksalah fikiran kita, apakah masih ada pengalaman-pengalaman yang mempengaruhi pandangan kita. Lupakanlah, mulailah dengan “zero mind” (kembali fitrah)
  • Kepentingan dan Prioriti : Dalam pengambilan keputusan, apakah kita terpengaruh oleh ‘vested interest’ kita ? Dengarlah suara hati, berfikirlah dengan mempertimbangkan berbagai aspek. Bijaksanalah. Tentukan prioriti dan sesuaikan dengan visi kita.
  • Sudut Pandang : Jika melihat sesuatu permasalahan, lihatlah dari seluruh sudut pandang. Jangan hanya dari satu sisi sahaja.
  • Pembanding : Jangan membandingkan sesuatu hal dari sudut pandangan kita sahaja, sebaliknya cuba keluar dari persesi diri kita. Lihatlah  diri kita dari luar.
  • Literatur (Pembacaan) : Apabila membaca buku atau sebarang penulisan ilmiah, ambillah sudut positifnya. Cuba bandingkan dengan suara hati kita. Jika sesuai, maka itulah yang disebut anggukan universal – kebenaran akan ketetapan Allah.

Latihlah suara hati yang mendorong kita berfikir jernih, lakukanlah dengan ‘repetitive magic power’ – zikir Asmaul husna (99 thinking hats) dan ucapkan Subhanallah, sambil mengingat kesucian sifat Allah.

b) Lihatlah kecerdasan Spiritual yang telah anda miliki dengan mengenali dan menggunakannya.  Mulailah dari hal yang kecil, dari kebiasaan sehari-hari. Contohnya ialah :

  • Anda sedang  menghadapi satu ujian dan rasa tidak sabar, ada suara hati yang lantas terdetik “Bersabarlah !” Itu adalah suara hati Yang Maha Penyabar, As-Sabuur (Maha penyabar).
  • Anda merasa malas untuk belajar lagi kerana telah merasakan telah mencukupi dengan ilmu yang dimiliki”, suara hati lantas berdetik “Aku Perlu Cerdik dan Bijaksana” Itu adalah suara Yang Maha Pandai, Ar Rasyiid (Maha Pandai).

c)  Lakukan Istigfar setiap hari dengan memeriksa kesalahan diri.  

Berdoalah dengan khusyuk. Ketika mengambil wuduk, disaat membersihkan wajah, basuhlah mata dan wajah dari pandangan-pandangan hina kemunafikan. Ketika membasuh tangan dan kaki, bersihkan diri dari dosa yang dilakukan oleh tangan dan kaki kita.

KEDUA : 6 (enam) Prinsip Moral berdasarkan Rukun Iman

a)           Prinsip Satu – Star Principle. Prinsip ini memberi penekanan kepada penghayatan Rukun Iman yang pertama iaitu Percaya Kepada Allah. Kita mestilah bekerjalah kerana Allah, bukan kerana manusia dan jangan berprinsip kepada yang lain selain Allah. Lakukan segala sesuatu sebaik-baiknya kerana Allah, dan ingatlah selalu Allah Yang Maha Tinggi. Berpedomanlah selalu pada sifat-sifat Allah. Bangun kepercayaan dari dalam diri, jangan kerana penampilan fizikal, tetapi iman kitalah yang akan memancarkan karisma diri kita.

b)           Prinsip Dua – Angel principle. Rukun Iman kedua iaitu Percaya Kepada Malaikat bukan sahaja dipelajari untuk pengetahuan malahan dapat dijadikan panduan kepada kita bagi meningkatkan integriti dan akauntabiliti. Apabila bekerja kerjakanlah sesuatu dengan tulus, ikhlas dan jujur seperti malaikat. Malaikat memiliki Integriti yang sangat tinggi, yang boleh kita ambil pengajaran dan teladaninya.

c)           Prinsip Tiga – Leadership Principle. Percaya Kepada Rasul. Sifat-sifat positif yang dimiliki oleh para Nabi dan Rasul sewajarnya di teladani dan diaplikasikan di dalam kerjaya. Setiap orang dilahirkan sebagai pemimpin, sekurang-kurangnya untuk memimpin diri sendiri. Sesiapa yang berjaya memimpin dirinya, insyallah berkemampuan untuk memimpin orang lain. Jadilah pemimpin kerana pengaruh anda, bukan kerana hak anda. Dengarkanlah selalu suara hati, pimpinlah hati mereka bukan kepala mereka. Jadikanlah Rasulullah sebagai suri teladan.

d)           Prinsip Empat – Learning Principle. Percaya kepada Kitab. Kitab adalah  undang-undang dasar yang dijadikan pedoman atau pengajaran kepada manusia. Membudayakan baca Al-Quran dan Hadis serta memahami dan mengamalkannya. Apabila menghadapi kekeliruan untuk mengambil keputusan, carilah petunjuk dalam Al-Quran dan Hadis. Masyarakat yang berilmu akan melahirkan warga Jauhari yang mampu berfikir  dan bertindak secara  high thinking and  high doing. Konsep life long learning adalah selari dengan prinsip keempat ini.

e)           Prinsip Lima – Vision principle. Milikilah tujuan dan misi jangka pendek dan jangka panjang. Tentukan prioriti atau keutamaan. Buat perancangan kerja dan sasaran kerja. Sentiasa membuat penilaian kerja yang dilakukan. Laksanakan kerja dengan penuh komitmen. Inilah intipati atau hikmah sebenarnya Rukun Islam Kelima, percaya kepada Hari Kiamat. 

f)             Prinsip Enam – Well Organizad Principle. Rukun Iman ke enam iaitu percaya kepada Qadak dan Qadar (ketentuan dan ketetapan Allah), secara simboliknya menekankan berkenaan pentingnya keteraturan  dan sistem. Tentukan rencana dan tujuan secara jelas. Wujudkan mekanisma atau sistem pengawasan  bagi mengawal kualiti dan produktiviti. Pelaksanaan dengan sangat disiplin  dan sistematik.

KETIGA : 5 (lima) langkah sukses berdasarkan Rukun Islam

a)           Langkah Satu – Mission Statement. Sejarah telah membuktikan setiap Individu atau organisasi yang berjaya perlu mempunyai visi dan misi yang jelas.  Penetapan visi dan misi individu dan organiasi adalah terjemahan kepada Rukun Islam Pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Ikrar kalimah syahadat diucapkan paling sedikit sembilan kali dalam sehari semalam yang terdapat dalam “tahiyyat awal dan akhir” dalam solat lima waktu. Ucapan “Asyahu an Laa Ilaaha Illallah” atau “Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah” yang diucap kan berulang-ulang menjadi doktrin maha dahsyat yang akan mengisi serta menghidupkan kalbu setiap jiwa.  Ia akan mewujudkan Repetative Magic Power yang merupakan satu energi dan pengasahan komitmen melalui pembangunan memori alam bawah sedar.

b)          Langkah Dua – Character Building. Pembinaan karakter melalui penghayatan solat yang sempurna, iaitu Rukun Islam Kedua. Solat merupakan satu kaedah releksasi yang sangat penting bagi menjaga kondisi emosi dan fikiran. Solat merupakan kekuatan afirmasi atau penegasan kembali yang dapat membantu seseorang untuk lebih menyelaras nilai-nilai keimanan dan realiti kehidupan. Menurut Stephen R. Covey, afirmasi atau penegasan memiliki lima dasar iaitu peribadi, positif, masa kini, visual, dan emosi. Solat juga melahirkan kecerdasan emosi dan spiritual yang  merangkumi konsistensi (istiqamah), kerendahan hari (tawadhu), berusaha dan berserah (tawakal), ketulusan (keikhlasan), totalitas (kaffah), keseimbangan (tawazun), integriti dan penyempurnaan (ihsan). Kesemua ini dinamakan Akhlakul Karimah.

c)           Langkah Tiga – Self Controling. Menghayati pelaksanaan rukun Islam ketiga  berpuasa di bulan Ramadhan. Puasa adalah suatu kaedah latihan untuk pengendalian diri. Puasa bertujuan untuk meraih kemerdekaan sejati dan pembebasan dari belenggu yang tidak terkendali. Puasa yang baik akan memelihara aset kita yang paling berharga iaitu suara hati Ilahiah (spritual capital).  

d)           Langkah Empat – Strategik Colaboration. Penghayatan Rukun Islam ke empat iaitu menunaikan zakat. Zakat adalah langkah nyata untuk mengeluarkan potensi spiritual (fitrah) menjadi sebuah langkah konkrit bertujuan membangun sebuah sinergi yang kuat iaitu berlandaskan sikap empati, kepercayaan, sikap kooperatif, keterbukaan serta kreadibiliti. 

e)           Langkah Lima – Total Action. Haji adalah suatu transformasi prinsip dan langkah secara total (thawaf), konsisten dan persisteni perjuangan (sa’i), evalusi dan visualisasi serta mengenal jati diri spritual ketika wukuf. Haji juga merupakan suatu pelatihan sinergi dalam skala yang tinggi, dan haji adalah persiapan fizikal serta mental dalam menghadapi berbagai tentangan masa depan (lontar jumrah)

PROGRAM-PROGRAM PENGUKUHAN ESQ WAY 165 DI DALAM ORGANISASI

Model  ESQ Way 165 adalah Key Performance Indicator (KPI) bagi setiap  individu muslim. Ihsan, Rukan Iman dan Rukun Islam adalah satu perkara yang wajib dipelajari dan diamalkan. Program-program, latihan dan kepimpinan perlu merealisasikan ilmu wahyu (revealed knowledge) bagi membangunkan rohaniah manusia sebagai hamba Allah yang mukmin. Program juga perlu untuk meningkatkan tahap ilmu aqli (aqqired knowledge) bagi membina kepakaran yang tinggi sebagai khalifah yang profesional. Seorang individu bukan sahaja perlu baik atau Al-Amin (amanah – mempunyai integriti tinggi) juga mestilah seorang Al-Qawi (kuat, profesional  dan kompeten).

Usaha mewujudkan budaya Kerja Kelas Pertama mesti bermula daripada perubahan sikap. Perubahan ini mesti bermula dari dalam ke luar (inside-out) Maksudnya dengan memantapkan terlebih dahulu ‘belief system’ (sistem keyakinan) dalam diri. Pelbagai program boleh dirancang dan diadakan bagi memperkukuhkan pelaksanaan model ini. Antaranya  ialah,  menghantar pegawai mengikuti kursus ESQ, menerapkan nilai-nilai Islam di dalam kepimpinan, pentadbiran dan latihan, mengadakan “morning briefing”, sering mengaitkan mengadakan program-program bercorak nilai murni dan kerohanian dengan kerjaya, membudayakan membaca Al-Quran. Mengadakan kempen 3S Salam, Senyum dan Sedekah. Menguatkuasa dan memberi kesedaran berkenaan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993  serta sesi pembelajaran peraturan-peraturan yang berkuatkuasa.  

RUMUSAN

Budaya Kerja Kelas Pertama sebenarnya  adalah suatu  rutin harian yang  boleh dan telah dilaksanakan tanpa kita sedari.   ESQ Way 165 adalah satu kerangka dasar, bagi membimbing kita menjayakan Budaya Kerja Kelas Pertama. Kejayaan  model  ini terletak kepada pelaksanaan dan penghayatan yang berterusan. Kesan dapat dilihat dari aspek kepuasan kerja, wujudnya suasana harmoni, penurunan kes tatatertib, peningkatan indeks komposit Audit Nilai dan pengiktirafan yang diterima oleh organisasi dan individu .  Budaya Kerja Kelas Pertama  dapat direalisasikan apabila setiap individu di dalam organisasi  memiliki kesepaduan IQ, EQ dan SQ.

RUJUKAN

_____________, Minda Kelas Pertama. 2006. Bahagian Perkhidmatan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya.

Ary Ginanjar Agustian.2005. The Islamic Guide to Developing ESQ – Emotional, Spiritual Quotient. Arga Publishing, Jakarta, Indonesia.

Dato’ Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid.2009. Indahnya Hidup Bersyariat – Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang hayat, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Dr. D.J. Schwartz, Berfikiran dan Berjiwa Besar. 2003. Albar Publishing & Distributing Sdn Bhd, Selangor.

Nawawi Dusuki. 2009. Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah S.A.W, Whole Sale Mart Business Point Sdn Bhd, Kuala Lumpur.     

Pahrol Mohamad Juoi.2008. Dilema Melayu – Islam, Kurang Fikir atau Kurang Zikir, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Pahrol Mohamad Juoi.2007.Mukmin Profesional : Re-Engineering Dalam Pembangunan Modal Insan.

Stephen R. Covey. 1996. 7 Tabiat Orang Yang Amat Berkesan, Prentice Hall Malaysia, Petaling Jaya.

Syamsul Rijal Hamid, H.F. Rahadian.2000. Pengetahuan Tentang Agama Islam, Pustaka Ilmi, Selangor.

Talib Samat, 99 Nama Allah Tersohor.2004. Utusan Publoication & Distributors, Kuala Lumpur.

Taufik Pasiak.2008. Revolusi IQ, EQ, SQ Menyingkap rahsia kecerdasan berdasarkan Quran dan teori neurosains mutakhir, PTS Milliennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

 

 

 

Related Posts with Thumbnails